Mydin bakal buka cawangan baharu di Hab Komersial Bidara Suria

30 September 2026: RANGKAIAN pasar raya terbesar di Malaysia, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) dan Seri Pajam Development Sdn Bhd (Seri Pajam Development) menandatangani 'perjanjian pelaburan tidak terikat' bagi sebidang tanah di Hab Komersial Bidara Suria.
Ia sekali gus menandakan bermulanya kerjasama strategik pembukaan cawangan baharu Mydin di pusat komersial itu yang terletak di Perbandaran Nada Bidara Gadong Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.
Di bawah cadangan pembangunan itu, cawangan baharu Mydin meliputi kira-kira 20,000 kaki persegi menjadikannya penyewa utama bagi Hab Komersial Bidara Suria.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin Mohamed berkata, kerjasama tersebut mencerminkan usaha berterusan pihaknya membawa perkhidmatan peruncitan mudah diakses selain menawarkan nilai kepada komuniti yang sedang berkembang.

Menurut beliau, sinergi itu berupaya menyokong visi Seri Pajam Development dalam mewujudkan perbandaran bersepadu yang menggabungkan kediaman, perniagaan dan kemudahan asas.
"Cadangan pembukaan cawangan ini memberi peluang buat Mydin untuk memenuhi keperluan populasi yang semakin berkembang di salah satu koridor pertumbuhan kediaman dan perindustrian baharu di Seremban," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Majlis menandatangani 'perjanjian pelaburan tidak terikat' atau 'term sheet' antara kedua-dua syarikat itu berlangsung di Ibu Pejabat Mydin di Subang Jaya. Pautan berita: https://www.sinarharian.com.my/article/798440/bisnes/mydin-bakal-buka-cawangan-baharu-di-hab-komersial-bidara-suria

.png)


